Siapa Abdullah Dihol?

Siapa Abdullah Dihol? Abdullah Dihol atau nama asalnya Dihol Linggawang dilahirkan pada 1906. Beliau adalah seorang pejuang yang tidak termasuk dalam mana-mana sejarah Sabah. Beliau digelar 'pejuang atau pahlawan senyap' menentang penjajahan negeri Sabah semenjak dari tahun 1930 hingga 1963 iaitu semasa pembentukan Malaysia. Ayah beliau, Linggawang adalah pengikut Mat Salleh sebelum tahun 1900.

Saturday, January 28, 2012

MAT JALI MATI DI PATAU PROPER?

Pada tahun 1964, saya berjumpa dengan Aki Sobintal di Patau (di bawah kampung Narayat). Dalam usia muda, saya mulai meminati cerita 'doung-gulu'. Ketika saya berusia 7 tahun, Aki Sobintal berumur 76 tahun. Ini bermakna masa Mat salleh meninggal dunia, Aki Sobintal sudah berumur kira2 12 tahun. Pada umur ini, banyak perkara yg dia boleh ingat. Aki Sebintal menceritakan kepada saya bahawa Mat Jali mati di Patau Proper. Sambil menuding jarinya ke arah rumpunan bambu di lereng bukit, Aki Sobintal memberitahu saya bahawa Mat Jali mati di bawah rimbunan koporingan. Lalu saya bertanya kepada Aki Sobintal "Macam mana Aki tahu mayat itu Mat Jali?". Aki Sobintal kata "Mayat itu saya kenal kerana ada kubunya di sini", katanya. Saya tidak puas hati dengan jawapan itu lalu bertanya lagi "Ada apa2 lagi bukti lain bahawa mayat itu Mat Jali?", tanya saya. Aki Sobintal kata "Dari pakaiannya pun saya kenal. Mat jali selalu pakai baju warna hitam dan berikat rambut. Hanya Mat Jali sahaja yg berpakaian baju hitam", kata Aki Sobintal. "Kami semua masih pakai baju 'sinonson", katanya menambah sambil menunjuk pakaian sinonsonnya yg masih tersangkut. Inilah bukti awal bahawa Mat Jali atau 'Paduka Mat Salleh' mati di Patau. Inilah sebabnya saya mengatakan dalam FB ini dulu bahawa Mat Salleh, Pahlawan Sabah mati di Patau proper. Nak tahu cerita lanjut.... tunggu blog saya. (bersambung....)

Monday, December 6, 2010

ABDULLAH DIHOL BERDAKWAH MELALUI SENI SILAT

-
Abdullah Dihol berdakwah melalui seni
-
Abdullah Dihol bukanlah seorang ulama. Siapa sangka, ramai non-muslim di Pendalaman Sabah yang memeluk islam kerana seni. Kalau sekarang seni hanya digunakan untuk berhibur semata-mata, tetapi zaman dulu seni berguna untuk tujuan berdakwah. Misalnya, seni mempertahankan diri, seni muzik, seni lakon dan seni yang lain.
-
Dulu seni muzik tidak menggunakan letrik. Seni lakon juga hanya berlegar di pentas-pentas teatre saja melalui kumpulan bangsawan. Bermula dengan persembahan seni ini maka seseorang dapat dikenali. Dari perkenalan inilah maka timbullah perasaan 'ingin tahu' seterusnya.
-
Persembahan silat di pentas, misalnya, dapat menarik perhatian ramai peminat seni silat untuk bertanya dan terus belajar. Pelajar yang berminat akan membuat temujanji dengan guru silat untuk belajar silat. Setelah berjumpa dan berbincang secara peribadi, guru silat berkenaan akan membuka gelanggang silat. Gelanggang silat menjadi pusat pertemuan dan bertukar pendapat dengan pelajarnya.
-
Antara perkataan yang keluar dari mulut guru seni silat ini ialah:
-
'jangan memulakan pergaduhan'
'elak tiga kali sebelum guna ilmu silat'
'lari sebelum kena pukul'
'silat yang terbaik ialah 'silat lari'
'jangan buat perkara yang memudaratkan orang lain'
'jangan makan benda ini sebagai pantang'
-
Jika diamati perkataan di atas, kesemuanya mempunyai nilai-nilai murni yang tidak bercanggah dengan ajaran islam. Inilah antara nasihat guru silat setiap kali beliau bertemu dengan pelajarnya. Kaedah ini sangat efektif dalam penyaluran dakwah bil hal. Dakwah ini bermula dengan hobi yang digemari oleh individu. Melalui hobi individu, guru dapat mendampingi mereka. Pelajar yang sentiasa didampingi oleh guru akan merasa dihargai dan akhirnya membuat keputusan sendiri untuk memeluk agama islam.
-
Startegi inilah antara yang banyak digunakan oleh Abdullah Dihol untuk menarik ribuan non-muslim memeluk agama islam di Pendalaman Sabah. Malah, strategi ini amat berkesan sehinggakan mereka sanggup mengganggap Abdullah Dihol sebagai saudara dan keluarganya sendiri. Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai 'bapa' sebagai menghargai usaha murninya. Selain dari seni silat, Abdullah Dihol juga menggunakan perubatan Islam sebagai medium menarik non-muslim menganuti islam.
-
Kebanyakan murid-murid Abdullah Dihol adalah orang kampung dan tidak kurang juga yang bekerja sebagai guru dan polis. Abdullah Dihol berjaya membuka berpuluh-puluh gelanggang silat di Pendalaman Sabah dengan ahlinya yang ramai. Seorang pembantu guru akan dilantik untuk menjadi ketua setiap gelanggang.
-
Hasil usaha Abdullah Dihol, ribuan ahlinya memeluk agama islam. Selepas itu anak-anak dan cucu-cicit mereka pula berpeluang mempelajari ilmu agama secara formal. Alhamdulillah, ada yang sudah menamatkan pengajian mereka dalam bidang agama di universiti.
-
Sesuatu yang menarik dengan cara Abdullah Dihol dalam berdakwah, beliau tidak pernah sentuh tentang agama lain. Jauh sekali memburuk-burukkan agama lain. Ini menyebabkan beliau dihormati oleh non-muslim kerana sikapnya yang terbuka dan menjaga hubungan baik dengan non-muslim. Sehingga hari ini keluarga beliau masih ramai lagi yang non-muslim tetapi hidup aman damai bersama-sama dalam masyarakat pelbagai agama. Pernah satu ketika Abdullah Dihol pingsan diwaktu malam di Kampung Patau Tambunan dan disangkakan sudah menghembuskan nafas terakhir, orang kampung yang datang ke rumahnya untuk membantu ialah majoriti non-muslims. Begitu terharu sekali dengan sikap orang kampung terhadap saudara mereka walaupun tidak sama agama. Inilah warna sebenar masyarakat dikebanyakan kampung dusun di pendalaman Sabah.

-

ABDULLAH DIHOL PENUNGGANG KUDA YG CEKAP

-
Foto: Hj Abdullah Dihol bin Linggawang@Awang

Abdullah Dihol mempunyai 18 ekor kuda untuk digunakan sebagai kenderaan, bersukan dan untuk dihadiahkan atau dipinjamkan kepada kawan-kawannya di Tambunan, Tenom, Keningau dan Ranau. Antara orang yang dipinjamkan kuda ialah Hj Suratman di Ranau selama sebulan supaya terlatih mengendalikan kuda.
-
Kudanya yang paling terkenal bernama 'Bintang Tunggaring', mempunyai tanda putih di kepala berbentuk 'diamond'. Kuda inilah menjadi tunggangan beliau ke hulu-ke hilir kerana kuda ini amat pantas berlari. Setiap tahun, daerah Tambunan mengadakan pesta 'ginawari' (pesta hujung bulan Disember) maka acara kemuncak yang paling popular ialah lumba kuda. Abdullah Dihol tidak ketinggalan menyertai pertandingan itu atas permintaan ramai peminat. Dengan tubuh badan Abdullah Dihol yang bersaiz kecil dan sederhana ringan, maka beliau sendiri menjadi 'jockey' kerana kuda itu faham benar kehendak Abdullah Dihol dan Abdullah Dihol juga faham kehendak kuda tersebut. Dalam perlumbaan, keserasian amat penting samada gerakan, keseimbangan badan jockey, posisi kaki, pegangan tali dan komunikasi amat penting. Penggunaan bahasa yang difahami oleh kuda juga berperanaan besar dalam pengendalikan kuda.
-
Di padang perlumbaan, bila sahaja pelepasan dibunyikan, Bintang Tunggaring, akan meluru ke hadapan dan menguasai lorong pertama. Dalam beberapa minit selepas itu Bintang Tunggaring semakin jauh meninggalkan pesaing lain dan akhirnya memenangi perlumbaan tersebut. Kehebatan Bintang Tunggaring dalam semua perlumbaan, sebenarnya mempunyai banyak rahsia yang penulis sendiri mempunyai pengalaman mengenai penjagaan kuda. Dan pastinya, itulah rahsia yang dimiliki oleh Abdullah Dihol. Resipi ini tidak sepenuhnya diwarisi oleh anak-anaknya kerana kebanyakkan anak-anak Abdullah Dihol tidak lagi begitu berminat dalam sukan lumba kuda untuk menumpukan fokus kepada menternak kerbau dan lembu yang lebih komersial.
-
Bagaimanakah nasib Bintang Tunggaring seterusnya? Kita tunggu episod 'Legenda Bintang Tunggaring', insyaa Allah.
-
ps. "Ajari anak-anakmu berenang dan lempar', hadis riwayat..................... (insyaa Allah hadis lengkap dan periwayatnya akan dicari). Nabi berlatih menaiki kuda sambil memanah dan inilah long-term vision yang nabi ajar kerana senjata mutakhir ialah pedang, tombak dan panah dan kenderaanya ialah kuda. Sementara berenang pula mengajar kita dalam 'survival' disamping satu bentuk latihan fizikal yang terbaik. Inilah salah satu saranan nabi yang penuh dengan 'futuristic visions'.
-
Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).”(Riwayat Muslim)

Tuesday, November 2, 2010

ABDULLAH DIHOL PENGASAS UTAMA SK PATAU

Native Voluntrary School (NVS) Patau 
atau kini SK Patau
-
Maaf, foto tidak terang
Atas: Foto yang diambil pada 18.04.1955 adalah bangunan sekolah NVS Patau. Kelihatan Abdullah Dihol bin Awang, pengasas sekolah tersebut. Bangunan sekolah ini hampir kesemuanya diperbuat daripada bambu. Atap, dinding dan meja belajar semuanya diperbuat daripada bambu dengan menggunakan rotan sebagai pengikat. Turut bergambar ialah beberapa pelajar pertama dan cikgu Insing sebagai guru pertama.-


Tuesday, October 19, 2010

ABDULLAH DIHOL PENGASAS 5 BUAH SEKOLAH

Setelah Abdullah Dihol berjaya membena jalanraya dari Mangi Pangi ke Kirokot dan seterusnya ke Pahu, beliau mula mengasas pembukaan lima buah sekolah seperti berikut:
-
1. NVS Patau - Tahun 1954 dan siap pada tahun 1955.
2. NVS Kirokot - Tahun 1960 
3. NVS Namadan - Tahun 1964
4. NVS Garas - Tahun 1964
5. NVS Kumawanan -1964
-
Beliau mampu mengurus pembukaan lima buah sekolah ini kerana gerakan beliau yang pantas dalam mengatur segala urusan dengan berkenderaan kuda sahaja. Beliau mampu sampai ke destinasi dengan pantas kerana kuda beliau bernama 'Bintang Tunggaring' serta kuda-kuda yang lain amat terlatih dalam sukan lumba kuda. Disamping itu, beliau juga banyak memelihara kuda samada untuk tujuan sukan mahu pun untuk dipinjamkan atau dihadiahkan kepada orang lain. terutamanya pengikut kanannya yang tidak mempunyai kuda.
-
Untuk membuka sekolah, Abdullah Dihol menggunakan pelbagai strategi untuk menambat hati Residen Keningau. Antara strategi beliau ialah:

1. Menyampaikan berita kepada orang awam mengenai polisi Residen British yang terkini berkaitan dengan pentadbiran daerah Pendalaman. 
2. Strategi seterusnya, Abdullah Dihol, dengan murah hati menghadiahkan kuda kepada Residen untuk tunggangannya. 
3. Seterusnya, Abdullah Dihol dengan murah hati menghadiahkan anak-anak beruk dan kera yang masih comel untuk dibela oleh Residen. 
4. Selain daripada itu, Abdullah Dihol juga bergiat cergas dalam kumpulan bangsawan dengan memakai seluar dan baju putih ala 'orang putih' dan rambutnya diputihkan. Budaya serba putih ini amat disukai oleh Residen sebagai lambang kehormatan kepada 'orang putih' yang mentadbir ketika itu.

Inilah sebahagian daripada strategi Abdullah Dihol menambat hati 'orang putih' untuk membolehkan beliau membuka sekolah. Kalau tidak ada strategi ini, mungkin pembenaan sekolah NVS ini lambat untuk diluluskan.
-
Dengan kepercayaan yang kuat dari Residen, Abdullah Dihol dilantik menjadi mandur besar untuk menjaga estate getah di beberapa tempat seperti di Lobou. Kriteria perlantikan 'mandur besar' ini adalah:

1.  Patuh kepada arahan perintah Residen
2. Dapat menyelesaikan konflik antara pekerja yang bermasalah seperti bergaduh. Abdullah Dihol menggunakan kelebihan silat dan ilmu batinnya untuk mengawal pekerjanya yang agresif serta sentiasa bergaduh sesama sendiri.
3.  Pantas mencari dan meyakinkan orang awam untuk bekerja di estate

Abdullah Dihol sentiasa berdiskusi dengan Mansarif (yang juga mandur besar di estate lain ketika itu, berasal dari Bandung Indonesia) mengenai kaedah terbaik menyelesaikan konflik pekerja yang sentiasa bersengketa. Kejayaan ini menyebabkan Residen mempercayai akan kemampuan Abdullah Dihol menjalankan amanah dengan pantas dan ikhlas. Akhirnya, terbinalah lima buah sekolah NVS Patau, Kirokot, Garas, Kumawanan dan Namadan.
-
Sebagai tanda komitmen dan sokongan kepada pembenaan sekolah di Patau, Abdullah Dihol menyerahkan tanahnya untuk tapak sekolah NVS Patau. Usaha Abdullah Dihol ini mendapat sokongan yang kuat dari penduduk kampung Patau, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak remaja yang ingin dimasukan ke sekolah. 

Dengan berkenderaan kuda, Abdullah Dihol menjelajah kampung-kampung untuk mencari guru dan akhirnya bertemu dengan Insing dari Kampung Nambayan Tambunan. Cikgu Insing dilantik menjadi guru pertama dan gajinya dibayar oleh orang kampung secara 'rukut-rukut' (pot luck). Adakalanya orang kampung tidak mempunyai wang untuk membayar gaji guru maka mereka membayar dengan beras. Semasa penulis menemu-bual Cikgu Insing pada tahun 1985 di rumahnya di Kg Nambayan, beliau menitiskan air mata bila menceritakan kesusahannya berjalan kaki dari Kg Nambayan ke Patau seorang diri membawa bekalan beras kerana ketiadaan kenderaan. Kadang-kadang, semasa hujan lebat sungai-sungai menjadi banjir dan beliau terpaksa menunggu lama di tepi sungai Sunsuron (dekat Kg Tibabar) dan sungai Mahua (dekat Kampung Patau) menunggu sungai sedikit surut. 

Kelima-lima sekolah tersebut bertukar nama menjadi 'Government Primary School (GPS)' dan kemudiannya bertukar menjadi Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) dan kini di namakan Sekolah Kebangsaan (SK) Patau, SK Kirokot, SK Garas, SK Namadan dan SK Kumawanan.
-
ps. Penulis juga adalah antara penduduk kampung Patau yang terlibat menghantar bahan-bahan binaan (beruti dan papan) ke Kampung Garas semasa pembenaan awal sekolah NVS Garas. Kami terpaksa meredah lorong-lorong kecil licin dan curam yang masih dipenuhi dengan hutan kerana masa itu belum ada jalanraya dari jalanraya utama dari Kg Pahu (jalanraya Tambunan - Ranau) ke Kampung Garas.
-

Sunday, October 17, 2010

SELAMAT DATANG KE BLOG ABDULLAH DIHOL

-
DIHOL BIN LINGGAWANG @ABDULLAH DIHOL BIN AWANG

LATAR BELAKANG
-
Abdullah Dihol bin Awang dilahirkan pada tahun 1906 di Kg Karanaan Ranau. Beliau memeluk agama islam pada 1930 dengan pengaruh dari rakan-rakannya dari Negara Brunei. Nama islamnya ialah Abdullah bin Awang. Semasa British masih menguasai Sabah, Abdullah Dihol bergaul dengan masyarakat islam dari Brunei melalui keanggotaannya dalam kumpulan 'bangsawan'. Kumpulan bangsawan ini amat popular sebelum adanya wayang gambar. Kumpulan bangsawan ini akan membuat persembahan lakonan di pentas-pentas menonjolkan bakat seni pertahanan diri atau silat dan seni muzik asli seperti accordian, gitar, biola, gendang, seruling, harmonika dan alat muzik yang tidak menggunakan letrik. Melalui pergaulan yang luas inilah maka Abdullah Dihol dan kumpulannya menjelajah ke seluruh Sabah, Brunei dan Sarawak mengadakan persembahan pentas sebagai hiburan masa itu. Dengan pergaulannya dengan masyarakat Brunei ini akhirnya Abdullah Dihol memeluk Islam pada tahun 1930.
-
Sebelum menganut islam, nama asalnya ialah Dihol bin Linggawang bin Yondar. Beliau mempunyai adik bernama Kuntagil, Situl, Dumpangol (Kadir) dan beberapa adik-adik perempuan. Beliau mempunyai keluarga yang ramai di Beaufort (Kampung Mampagar, Kg Muhibah, Kg Binunuk, Kg Pintas), di Keningau (Kampung Baginda, Kampung Liau, Kampung Kirokot Baru, Kampung Masaak, Kampung Masjid, Kampung Banjar, Kampung Pampang, Kampung Pamilaan, Kampung Bungaraya, Kampung Meninipir, Kg Tudan Baru) dan beberapa kampung di Tambunan (seperti Kampung Patau, Kampung Kipaku, Kampung Tunggaring, Kampung Kirokot, Kampung Katagayan, Kampung Narayat, Kampung Bambangan), di Ranau (Kg Karanaan, Kg Tudan, Kg Lohan, Kg Toboh), di Papar (Kampung Keletuan, Pekan Kinarut), di Kampung Berunai Mambakut, di Bongawan, di Kampung Malamam Sipitang, di Tenom (Kg Sumbiling, Kampung Jawa) dan saki-baki di Tawau, Semporna dan Lahad Datu.
-