Siapa Abdullah Dihol?

Siapa Abdullah Dihol? Abdullah Dihol atau nama asalnya Dihol Linggawang dilahirkan pada 1906. Beliau adalah seorang pejuang yang tidak termasuk dalam mana-mana sejarah Sabah. Beliau digelar 'pejuang atau pahlawan senyap' menentang penjajahan negeri Sabah semenjak dari tahun 1930 hingga 1963 iaitu semasa pembentukan Malaysia. Ayah beliau, Linggawang adalah pengikut Mat Salleh sebelum tahun 1900.

Monday, December 6, 2010

ABDULLAH DIHOL BERDAKWAH MELALUI SENI SILAT

-
Abdullah Dihol berdakwah melalui seni
-
Abdullah Dihol bukanlah seorang ulama. Siapa sangka, ramai non-muslim di Pendalaman Sabah yang memeluk islam kerana seni. Kalau sekarang seni hanya digunakan untuk berhibur semata-mata, tetapi zaman dulu seni berguna untuk tujuan berdakwah. Misalnya, seni mempertahankan diri, seni muzik, seni lakon dan seni yang lain.
-
Dulu seni muzik tidak menggunakan letrik. Seni lakon juga hanya berlegar di pentas-pentas teatre saja melalui kumpulan bangsawan. Bermula dengan persembahan seni ini maka seseorang dapat dikenali. Dari perkenalan inilah maka timbullah perasaan 'ingin tahu' seterusnya.
-
Persembahan silat di pentas, misalnya, dapat menarik perhatian ramai peminat seni silat untuk bertanya dan terus belajar. Pelajar yang berminat akan membuat temujanji dengan guru silat untuk belajar silat. Setelah berjumpa dan berbincang secara peribadi, guru silat berkenaan akan membuka gelanggang silat. Gelanggang silat menjadi pusat pertemuan dan bertukar pendapat dengan pelajarnya.
-
Antara perkataan yang keluar dari mulut guru seni silat ini ialah:
-
'jangan memulakan pergaduhan'
'elak tiga kali sebelum guna ilmu silat'
'lari sebelum kena pukul'
'silat yang terbaik ialah 'silat lari'
'jangan buat perkara yang memudaratkan orang lain'
'jangan makan benda ini sebagai pantang'
-
Jika diamati perkataan di atas, kesemuanya mempunyai nilai-nilai murni yang tidak bercanggah dengan ajaran islam. Inilah antara nasihat guru silat setiap kali beliau bertemu dengan pelajarnya. Kaedah ini sangat efektif dalam penyaluran dakwah bil hal. Dakwah ini bermula dengan hobi yang digemari oleh individu. Melalui hobi individu, guru dapat mendampingi mereka. Pelajar yang sentiasa didampingi oleh guru akan merasa dihargai dan akhirnya membuat keputusan sendiri untuk memeluk agama islam.
-
Startegi inilah antara yang banyak digunakan oleh Abdullah Dihol untuk menarik ribuan non-muslim memeluk agama islam di Pendalaman Sabah. Malah, strategi ini amat berkesan sehinggakan mereka sanggup mengganggap Abdullah Dihol sebagai saudara dan keluarganya sendiri. Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai 'bapa' sebagai menghargai usaha murninya. Selain dari seni silat, Abdullah Dihol juga menggunakan perubatan Islam sebagai medium menarik non-muslim menganuti islam.
-
Kebanyakan murid-murid Abdullah Dihol adalah orang kampung dan tidak kurang juga yang bekerja sebagai guru dan polis. Abdullah Dihol berjaya membuka berpuluh-puluh gelanggang silat di Pendalaman Sabah dengan ahlinya yang ramai. Seorang pembantu guru akan dilantik untuk menjadi ketua setiap gelanggang.
-
Hasil usaha Abdullah Dihol, ribuan ahlinya memeluk agama islam. Selepas itu anak-anak dan cucu-cicit mereka pula berpeluang mempelajari ilmu agama secara formal. Alhamdulillah, ada yang sudah menamatkan pengajian mereka dalam bidang agama di universiti.
-
Sesuatu yang menarik dengan cara Abdullah Dihol dalam berdakwah, beliau tidak pernah sentuh tentang agama lain. Jauh sekali memburuk-burukkan agama lain. Ini menyebabkan beliau dihormati oleh non-muslim kerana sikapnya yang terbuka dan menjaga hubungan baik dengan non-muslim. Sehingga hari ini keluarga beliau masih ramai lagi yang non-muslim tetapi hidup aman damai bersama-sama dalam masyarakat pelbagai agama. Pernah satu ketika Abdullah Dihol pingsan diwaktu malam di Kampung Patau Tambunan dan disangkakan sudah menghembuskan nafas terakhir, orang kampung yang datang ke rumahnya untuk membantu ialah majoriti non-muslims. Begitu terharu sekali dengan sikap orang kampung terhadap saudara mereka walaupun tidak sama agama. Inilah warna sebenar masyarakat dikebanyakan kampung dusun di pendalaman Sabah.

-

No comments:

Post a Comment