Siapa Abdullah Dihol?

Siapa Abdullah Dihol? Abdullah Dihol atau nama asalnya Dihol Linggawang dilahirkan pada 1906. Beliau adalah seorang pejuang yang tidak termasuk dalam mana-mana sejarah Sabah. Beliau digelar 'pejuang atau pahlawan senyap' menentang penjajahan negeri Sabah semenjak dari tahun 1930 hingga 1963 iaitu semasa pembentukan Malaysia. Ayah beliau, Linggawang adalah pengikut Mat Salleh sebelum tahun 1900.

Monday, December 6, 2010

ABDULLAH DIHOL BERDAKWAH MELALUI SENI SILAT

-
Abdullah Dihol berdakwah melalui seni
-
Abdullah Dihol bukanlah seorang ulama. Siapa sangka, ramai non-muslim di Pendalaman Sabah yang memeluk islam kerana seni. Kalau sekarang seni hanya digunakan untuk berhibur semata-mata, tetapi zaman dulu seni berguna untuk tujuan berdakwah. Misalnya, seni mempertahankan diri, seni muzik, seni lakon dan seni yang lain.
-
Dulu seni muzik tidak menggunakan letrik. Seni lakon juga hanya berlegar di pentas-pentas teatre saja melalui kumpulan bangsawan. Bermula dengan persembahan seni ini maka seseorang dapat dikenali. Dari perkenalan inilah maka timbullah perasaan 'ingin tahu' seterusnya.
-
Persembahan silat di pentas, misalnya, dapat menarik perhatian ramai peminat seni silat untuk bertanya dan terus belajar. Pelajar yang berminat akan membuat temujanji dengan guru silat untuk belajar silat. Setelah berjumpa dan berbincang secara peribadi, guru silat berkenaan akan membuka gelanggang silat. Gelanggang silat menjadi pusat pertemuan dan bertukar pendapat dengan pelajarnya.
-
Antara perkataan yang keluar dari mulut guru seni silat ini ialah:
-
'jangan memulakan pergaduhan'
'elak tiga kali sebelum guna ilmu silat'
'lari sebelum kena pukul'
'silat yang terbaik ialah 'silat lari'
'jangan buat perkara yang memudaratkan orang lain'
'jangan makan benda ini sebagai pantang'
-
Jika diamati perkataan di atas, kesemuanya mempunyai nilai-nilai murni yang tidak bercanggah dengan ajaran islam. Inilah antara nasihat guru silat setiap kali beliau bertemu dengan pelajarnya. Kaedah ini sangat efektif dalam penyaluran dakwah bil hal. Dakwah ini bermula dengan hobi yang digemari oleh individu. Melalui hobi individu, guru dapat mendampingi mereka. Pelajar yang sentiasa didampingi oleh guru akan merasa dihargai dan akhirnya membuat keputusan sendiri untuk memeluk agama islam.
-
Startegi inilah antara yang banyak digunakan oleh Abdullah Dihol untuk menarik ribuan non-muslim memeluk agama islam di Pendalaman Sabah. Malah, strategi ini amat berkesan sehinggakan mereka sanggup mengganggap Abdullah Dihol sebagai saudara dan keluarganya sendiri. Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai 'bapa' sebagai menghargai usaha murninya. Selain dari seni silat, Abdullah Dihol juga menggunakan perubatan Islam sebagai medium menarik non-muslim menganuti islam.
-
Kebanyakan murid-murid Abdullah Dihol adalah orang kampung dan tidak kurang juga yang bekerja sebagai guru dan polis. Abdullah Dihol berjaya membuka berpuluh-puluh gelanggang silat di Pendalaman Sabah dengan ahlinya yang ramai. Seorang pembantu guru akan dilantik untuk menjadi ketua setiap gelanggang.
-
Hasil usaha Abdullah Dihol, ribuan ahlinya memeluk agama islam. Selepas itu anak-anak dan cucu-cicit mereka pula berpeluang mempelajari ilmu agama secara formal. Alhamdulillah, ada yang sudah menamatkan pengajian mereka dalam bidang agama di universiti.
-
Sesuatu yang menarik dengan cara Abdullah Dihol dalam berdakwah, beliau tidak pernah sentuh tentang agama lain. Jauh sekali memburuk-burukkan agama lain. Ini menyebabkan beliau dihormati oleh non-muslim kerana sikapnya yang terbuka dan menjaga hubungan baik dengan non-muslim. Sehingga hari ini keluarga beliau masih ramai lagi yang non-muslim tetapi hidup aman damai bersama-sama dalam masyarakat pelbagai agama. Pernah satu ketika Abdullah Dihol pingsan diwaktu malam di Kampung Patau Tambunan dan disangkakan sudah menghembuskan nafas terakhir, orang kampung yang datang ke rumahnya untuk membantu ialah majoriti non-muslims. Begitu terharu sekali dengan sikap orang kampung terhadap saudara mereka walaupun tidak sama agama. Inilah warna sebenar masyarakat dikebanyakan kampung dusun di pendalaman Sabah.

-

ABDULLAH DIHOL PENUNGGANG KUDA YG CEKAP

-
Foto: Hj Abdullah Dihol bin Linggawang@Awang

Abdullah Dihol mempunyai 18 ekor kuda untuk digunakan sebagai kenderaan, bersukan dan untuk dihadiahkan atau dipinjamkan kepada kawan-kawannya di Tambunan, Tenom, Keningau dan Ranau. Antara orang yang dipinjamkan kuda ialah Hj Suratman di Ranau selama sebulan supaya terlatih mengendalikan kuda.
-
Kudanya yang paling terkenal bernama 'Bintang Tunggaring', mempunyai tanda putih di kepala berbentuk 'diamond'. Kuda inilah menjadi tunggangan beliau ke hulu-ke hilir kerana kuda ini amat pantas berlari. Setiap tahun, daerah Tambunan mengadakan pesta 'ginawari' (pesta hujung bulan Disember) maka acara kemuncak yang paling popular ialah lumba kuda. Abdullah Dihol tidak ketinggalan menyertai pertandingan itu atas permintaan ramai peminat. Dengan tubuh badan Abdullah Dihol yang bersaiz kecil dan sederhana ringan, maka beliau sendiri menjadi 'jockey' kerana kuda itu faham benar kehendak Abdullah Dihol dan Abdullah Dihol juga faham kehendak kuda tersebut. Dalam perlumbaan, keserasian amat penting samada gerakan, keseimbangan badan jockey, posisi kaki, pegangan tali dan komunikasi amat penting. Penggunaan bahasa yang difahami oleh kuda juga berperanaan besar dalam pengendalikan kuda.
-
Di padang perlumbaan, bila sahaja pelepasan dibunyikan, Bintang Tunggaring, akan meluru ke hadapan dan menguasai lorong pertama. Dalam beberapa minit selepas itu Bintang Tunggaring semakin jauh meninggalkan pesaing lain dan akhirnya memenangi perlumbaan tersebut. Kehebatan Bintang Tunggaring dalam semua perlumbaan, sebenarnya mempunyai banyak rahsia yang penulis sendiri mempunyai pengalaman mengenai penjagaan kuda. Dan pastinya, itulah rahsia yang dimiliki oleh Abdullah Dihol. Resipi ini tidak sepenuhnya diwarisi oleh anak-anaknya kerana kebanyakkan anak-anak Abdullah Dihol tidak lagi begitu berminat dalam sukan lumba kuda untuk menumpukan fokus kepada menternak kerbau dan lembu yang lebih komersial.
-
Bagaimanakah nasib Bintang Tunggaring seterusnya? Kita tunggu episod 'Legenda Bintang Tunggaring', insyaa Allah.
-
ps. "Ajari anak-anakmu berenang dan lempar', hadis riwayat..................... (insyaa Allah hadis lengkap dan periwayatnya akan dicari). Nabi berlatih menaiki kuda sambil memanah dan inilah long-term vision yang nabi ajar kerana senjata mutakhir ialah pedang, tombak dan panah dan kenderaanya ialah kuda. Sementara berenang pula mengajar kita dalam 'survival' disamping satu bentuk latihan fizikal yang terbaik. Inilah salah satu saranan nabi yang penuh dengan 'futuristic visions'.
-
Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).”(Riwayat Muslim)