Siapa Abdullah Dihol?

Siapa Abdullah Dihol? Abdullah Dihol atau nama asalnya Dihol Linggawang dilahirkan pada 1906. Beliau adalah seorang pejuang yang tidak termasuk dalam mana-mana sejarah Sabah. Beliau digelar 'pejuang atau pahlawan senyap' menentang penjajahan negeri Sabah semenjak dari tahun 1930 hingga 1963 iaitu semasa pembentukan Malaysia. Ayah beliau, Linggawang adalah pengikut Mat Salleh sebelum tahun 1900.

Tuesday, October 19, 2010

ABDULLAH DIHOL PENGASAS 5 BUAH SEKOLAH

Setelah Abdullah Dihol berjaya membena jalanraya dari Mangi Pangi ke Kirokot dan seterusnya ke Pahu, beliau mula mengasas pembukaan lima buah sekolah seperti berikut:
-
1. NVS Patau - Tahun 1954 dan siap pada tahun 1955.
2. NVS Kirokot - Tahun 1960 
3. NVS Namadan - Tahun 1964
4. NVS Garas - Tahun 1964
5. NVS Kumawanan -1964
-
Beliau mampu mengurus pembukaan lima buah sekolah ini kerana gerakan beliau yang pantas dalam mengatur segala urusan dengan berkenderaan kuda sahaja. Beliau mampu sampai ke destinasi dengan pantas kerana kuda beliau bernama 'Bintang Tunggaring' serta kuda-kuda yang lain amat terlatih dalam sukan lumba kuda. Disamping itu, beliau juga banyak memelihara kuda samada untuk tujuan sukan mahu pun untuk dipinjamkan atau dihadiahkan kepada orang lain. terutamanya pengikut kanannya yang tidak mempunyai kuda.
-
Untuk membuka sekolah, Abdullah Dihol menggunakan pelbagai strategi untuk menambat hati Residen Keningau. Antara strategi beliau ialah:

1. Menyampaikan berita kepada orang awam mengenai polisi Residen British yang terkini berkaitan dengan pentadbiran daerah Pendalaman. 
2. Strategi seterusnya, Abdullah Dihol, dengan murah hati menghadiahkan kuda kepada Residen untuk tunggangannya. 
3. Seterusnya, Abdullah Dihol dengan murah hati menghadiahkan anak-anak beruk dan kera yang masih comel untuk dibela oleh Residen. 
4. Selain daripada itu, Abdullah Dihol juga bergiat cergas dalam kumpulan bangsawan dengan memakai seluar dan baju putih ala 'orang putih' dan rambutnya diputihkan. Budaya serba putih ini amat disukai oleh Residen sebagai lambang kehormatan kepada 'orang putih' yang mentadbir ketika itu.

Inilah sebahagian daripada strategi Abdullah Dihol menambat hati 'orang putih' untuk membolehkan beliau membuka sekolah. Kalau tidak ada strategi ini, mungkin pembenaan sekolah NVS ini lambat untuk diluluskan.
-
Dengan kepercayaan yang kuat dari Residen, Abdullah Dihol dilantik menjadi mandur besar untuk menjaga estate getah di beberapa tempat seperti di Lobou. Kriteria perlantikan 'mandur besar' ini adalah:

1.  Patuh kepada arahan perintah Residen
2. Dapat menyelesaikan konflik antara pekerja yang bermasalah seperti bergaduh. Abdullah Dihol menggunakan kelebihan silat dan ilmu batinnya untuk mengawal pekerjanya yang agresif serta sentiasa bergaduh sesama sendiri.
3.  Pantas mencari dan meyakinkan orang awam untuk bekerja di estate

Abdullah Dihol sentiasa berdiskusi dengan Mansarif (yang juga mandur besar di estate lain ketika itu, berasal dari Bandung Indonesia) mengenai kaedah terbaik menyelesaikan konflik pekerja yang sentiasa bersengketa. Kejayaan ini menyebabkan Residen mempercayai akan kemampuan Abdullah Dihol menjalankan amanah dengan pantas dan ikhlas. Akhirnya, terbinalah lima buah sekolah NVS Patau, Kirokot, Garas, Kumawanan dan Namadan.
-
Sebagai tanda komitmen dan sokongan kepada pembenaan sekolah di Patau, Abdullah Dihol menyerahkan tanahnya untuk tapak sekolah NVS Patau. Usaha Abdullah Dihol ini mendapat sokongan yang kuat dari penduduk kampung Patau, terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak remaja yang ingin dimasukan ke sekolah. 

Dengan berkenderaan kuda, Abdullah Dihol menjelajah kampung-kampung untuk mencari guru dan akhirnya bertemu dengan Insing dari Kampung Nambayan Tambunan. Cikgu Insing dilantik menjadi guru pertama dan gajinya dibayar oleh orang kampung secara 'rukut-rukut' (pot luck). Adakalanya orang kampung tidak mempunyai wang untuk membayar gaji guru maka mereka membayar dengan beras. Semasa penulis menemu-bual Cikgu Insing pada tahun 1985 di rumahnya di Kg Nambayan, beliau menitiskan air mata bila menceritakan kesusahannya berjalan kaki dari Kg Nambayan ke Patau seorang diri membawa bekalan beras kerana ketiadaan kenderaan. Kadang-kadang, semasa hujan lebat sungai-sungai menjadi banjir dan beliau terpaksa menunggu lama di tepi sungai Sunsuron (dekat Kg Tibabar) dan sungai Mahua (dekat Kampung Patau) menunggu sungai sedikit surut. 

Kelima-lima sekolah tersebut bertukar nama menjadi 'Government Primary School (GPS)' dan kemudiannya bertukar menjadi Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) dan kini di namakan Sekolah Kebangsaan (SK) Patau, SK Kirokot, SK Garas, SK Namadan dan SK Kumawanan.
-
ps. Penulis juga adalah antara penduduk kampung Patau yang terlibat menghantar bahan-bahan binaan (beruti dan papan) ke Kampung Garas semasa pembenaan awal sekolah NVS Garas. Kami terpaksa meredah lorong-lorong kecil licin dan curam yang masih dipenuhi dengan hutan kerana masa itu belum ada jalanraya dari jalanraya utama dari Kg Pahu (jalanraya Tambunan - Ranau) ke Kampung Garas.
-

No comments:

Post a Comment